Friday, February 4, 2011

.:5 DASAR BERKELUARGA:.

Bagaimana kita membina dan mewujudkan rumahtangga yang harmoni, penuh kasih saying, “mawaddah wa rahmah”, wujud persefahaman dan bahagia dunia akhirat? Beberapa kaedah mustahak perlu diketahui bersama, kaifiat dan nilai itu berasas pada sumber nilai yang benar, iaitu Al-Islam. Nilai dan ajaran ini perlu digalakkan, kerana ia memang merupakan panduan bagi sesiapa yang mahukan kebahagiaan. Nilai-nilai yang dimaksudkan adalah:
Pertama :
Membangunkan rumahtangga yang baik dan harmoni mestilah berdasarkan iman kepada Allah. Iman adalah asas dalam kehidupan dan kekuatan dalam menegakkan azam. Jika beriman, maka wujudkanlah dalam keluarga solat berjemaah, ke masjid atau ke surau. Usahakanlah makan bersama.
Ucapkanlah salam dalam setiap keluar dan masuk rumah. Berkatalah dan berbual dengan ucapan yang taiyibbah (baik), kerana itu merupakan contoh dan ikhtibar bagi anak. Hindari pertengkaran antara suami isteri di hadapan anak-anak, kerana ia akan mempengaruhi jiwa.
Ibubapa hendaklah menghindari perkataan yang kotor, umpamanya : anjing, babi, tidak tahu diri, tak tahu jasa orang tua, anak haram dan sebutan yang tidak elok didengar. Hilangkan sikap emosional, meradang dan bersabarlah dalam melihat dan menghadapi tingkah laku anak yang tidak baik, ia harus dihadapi dengan tunjuk ajar yang baik dan tegur penuh kasih saying, sehingga si anak tak berasa kena marah, bahkan merasa diperhatikan dan dijaga.



Kedua:
Jangan ibubapa biar kasih saying pada anak-anak sehingga mereka diasuh oleh orang lain, kerana dari segi kejiwaan ia sangat berbahaya. Akibatnya, terjadilah sikap fatalisme dan frustasi pada diri dan masa depan anak-anak.
Kalaupun ibubapa memeliki pembantu rumah, tapi janganlah pembantu itu ditugaskan untuk mengasuh dan mendidik anak-anak kita. Pembantu rumah sememangnya hanya cuba mengemas rumah, mencuci pakaian dan memasak, sementara anak, dididik, diasuh, dijaga dan dibesarkan oleh ibu, kerana ibulah yang lebih bertanggungjawab.
Seorang ibu (isteri) tidak payah bekerja dan terlibat dengan berbagai urusan. Serahkan kepada bapa. Bapalah yang mencari nafkah untuk anak, isteri dan keluarga. Bukankah seorang bapa (lelaki) itu pemimpin keluarga? Hal ini tidaklah bermakna seorang wanita bergantung dan menyerahkan nasibnya pada lelaki sahaja. Bukankah dalam Islam masing-masing memiliki hak dan kewajipan? Untuk apa ibubapa payah-payah bekerja sedangkan anak kehilangan kasih sayang?

Ketiga:
Selaku orang tua (ibubapa) harus berusaha memahami dan menghayati akhlak dalam Islam iaitu ‘akhlakul karimah” (akhlak mulia) baik dalam hubungan dengan Allah (al-Khaliq) atau hubungan sesama manusia, meliputi diri peribadi, keluarga, jiran dan masyarakat. Kesemua itu dapat kita kaji dan pelajari dari ilmu tasauf (akhlak), yang sesuai dan berpandukan kepada al-Quran dan as-Sunnah.
Jika kita dapat menghayati dan memahaminya, akan lahir dalam jiwa dan diri kita, perasaan halus, budi bahasa yang mulia, tingkah laku yang elok dan sikap simpati.
Pendek kata, tercermin peribadi yang mulia yang dikehendaki oleh Islam dan dicontohkan oleh Baginda Rasulullah SAW. Sikap dan budi luhur umpamna itulah yang digalakkan pada peribadi anak-anak kita. Kaedah yang sederhana, berkesan dan menarik perhatiannya, patut diajar dan menyertakan contoh tingkah laku orang tua.
Perlu disedari, bahawa kita akan gagal dan tidak berkesan dalam mendidika anak, jika tingkah laku kita tidak sesuai dengan Islam dan kita tidak mengerti tentang Islam. Sememangnya pembinaan dan pendidikan anak itu mesti berkesan. Di sekolah, anak-anak mendapat ilmu pengetahuan dan kepujian dengan baik. Di rumah mereka mendapat perhatian dan pembinaan kasih sayang dari orang tua. Dengan begitu, InsyaAllah meraka akan menjadi anak yang salih, baik bagi diri dan keluarga atau masyarakat, agama, nusa dan bangsa.

Keempat :
Jangan bernafsu besar mengejar kemewahan dunia yang hanyalah fatamorgana serta nisbi. Hiduplah dengan pola hidup sederhana dan tidak berlebihan. Jangan mempamerkan kekayaan, lebih-lebih lagi di mata orang miskin.

Kelima :
Hindari pertelingkahan yang tidak bermanfaat antara suami isteri. Tumbuhkanlah rasa memiliki dan dimiliki. Sang isteri harus faham kewajipan dan haknya; begitu juga bagi suami. Hal ini tentu tidak akan meninggalkan kesan buruk pada perkembangan psikologi anak-anak.


.:KAMI INGIN PERMATA HATI KAMI:.


Panduan ini dikirim oleh seorang sahabat kepada saya. Disiarkan di sini untuk kita ibubapa sama-sama mendapat manfaatnya, insyaAllah.
baby melon
Seringkali orang dewasa mengeluh mengenai perangai anak- anak sekarang yang semakin rosak akhlaknya, terutamanya yang remaja. Pepatah Melayu ada mengatakan”melentur buluh biarlah dari rebungnya” memang sesuai sekali.Disini saya paparkan beberapa panduan mendidik anak yang digariskan oleh Syaikh YĆ«suf Muhammad al-Hasan. Perkara dibawah ini mungkin dianggap kecil bagi sesetengah orang namun jika perkara yang kecil tidak diberi perhatian maka mana mungkin ia dapat melahirkan anak-anak yang “sihat” jiwanya…..Mendidik manusia juga merupakan satu seni yang memerlukan kesabaran . Ada kesannya cepat dan ada yang dah umur 20 baru rasa nak amalkan apa yang diajar.
Selalu juga kita dengar orang kata “Ala budak-budak,besar nanti pandaila tu…” Tapi masa kecil lah kanak-kanak perlu dididik. Bila dah remaja ,dah jadi buluh memang sukar.Selama terlibat dalam bidang perguruan saya perhatikan kanak-kanak yag baik selalunya datang daripada ibu-bapa yang baik.Artikel ini disarankan oleh penulis semasa anak berusia enam tahun pertama.

1) Dibiasakan mengambil, memberi, makan dan minum dengan tangan kanan. Jika makan dengan tangan kiri, diperingatkan dan dipindahkan makanannya ke tangan kanannya secara halus.
2) Dibiasakan mendahulukan bahagian kanan dalam berpakaian. Ketika mengenakan kain, baju, atau lainnya dimulai dari kanan; dan ketika melepas pakaiannya dimulai dari kiri.
3) Dilarang tidur tertelungkup dan dibiasakan tidur dengan miring ke kanan.
4) Dihindarkan tidak memakai pakaian atau memakai seluar yang pendek, agar anak membesar dengan kesedaran menutup aurat dan malu untuk mendedahkan auratnya.
5) Dicegah menghisap jari dan menggigit kukunya.
6) Dibiasakan sederhana dalam makan dan minum, dan dijauhkan dari sikap rakus.
7) Dilarang bermain dengan hidungnya.
8 ) Dibiasakan membaca Bismillah ketika hendak makan.
9) Dibiasakan untuk mengambil makanan yang terdekat dan tidak memulai makan sebelum orang lain.
10) Tidak memandang dengan tajam kepada makanan mahupun kepada orang yang makan.



11) Dibiasakan tidak makan dengan tergesa-gesa dan supaya mengunyah makanan dengan baik.
12) Dibiasakan memakan makanan yang ada dan tidak mengingini yang tidak ada.
13) Dibiasakan kebersihan mulut dengan menggunakan siwak atau berus gigi setelah makan, sebelum tidur, dan sehabis bangun tidur.
14) Dididik untuk mendahulukan orang lain dalam makanan atau permainan yang disenangi, dengan dibiasakan agar menghormati saudara-saudaranya, sanak saudaranya yang masih kecil, dan anak-anak jiran jika mereka melihatnya sedang menikmati sesuatu makanan atau permainan.
15) Dibiasakan mengucapkan dua kalimat syahadat dan mengulanginya berkali-kali setiap hari.
16) Dibiasakan membaca “Ahamdulillah” jika bersin, dan mengatakan “Yarhamukallah” kepada orang yang bersin jika membaca “Alhamdulillah”.
17) Supaya menahan mulut dan menutupnya jika menguap, dan jangan sampai bersuara.
18) Dibiasakan berterima kasih jika mendapat suatu kebaikan, sekalipun hanya sedikit.
19) Tidak memanggil ibu dan bapak dengan namanya, tetapi dibiasakan memanggil dengan kata-kata seperti Ummi (Ibu), dan Abi (Bapa).
20) Ketika berjalan- jangan mendahului kedua orangtua atau siapa yang lebih tua darinya, dan tidak memasuki tempat lebih dahulu dari keduanya untuk menghormati mereka.

21) Tidak membuang sampah dijalanan, bahkan menjauhkan kotoran darinya.
22) Mengucapkan salam dengan sopan kepada orang yang dijumpainya dengan mengatakan “Assalamualaikum” serta membalas salam orang yang mengucapkannya.
23) Diajar berkata yang benar dan dibiasakan dengan bahasa yang baik.
24) Dibiasakan menuruti perintah ibu-bapa atau siapa saja yang lebih besar darinya, jika disuruh sesuatu yang tidak bertentangan dengan syarak.
25) Bila membantah diperingatkan supaya kembali kepada kebenaran dengan suka rela, jika memungkinkan. Tapi kalau tidak, dipaksa untuk menerima kebenaran, kerana hal ini lebih baik daripada tetap membantah .
26) Hendaknya kedua ibu-bapa mengucapkan terima kasih kepada anak jika menuruti perintah dan menjauhi larangan. Biasakan juga sekali-kali memberikan hadiah yang disukai seperti makanan, mainan atau diajak bersiar-siar atau melancong.
27) Tidak dilarang bermain selama masih selamat, seperti bermain dengan pasir dan permainan yang diperbolehkan, sekalipun menyebabkan bajunya kotor. Kerana permainan pada zaman ini penting sekali untuk pembentukan jasmani dan akal anak.
28) Ditanamkan kepada anak agar suka pada alat permainan yang dibolehkan seperti bola, kereta mainan, kapal terbang mainan, dan lain-lainnya. Dan ditanamkan kepadanya agar membenci alat permainan yang mempunyai bentuk terlarang seperti manusia dan haiwan. (macam ajar anak berlaga ayam)
29) Dibiasakan menghormati milik orang lain, dengan tidak mengambil permainan ataupun makanan orang lain, sekalipun permainan atau makanan saudaranya sendiri.
30) Jangan membiasakan anak berjalan kaki di di tengah jalan.

.:YA ALLAH, JAUHILAH SIFAT INI DARI ISTERIKU:.

“SAYA sering membaca kisah-kisah yang dipaparkan dalam ruangan ini yang banyak mengisahkan kecurangan suami sahaja. Biasanya kaum wanitalahyang sering mengadu tentang keburukan kelakuan, tabiat dan perbuatan sumbang suami masing-masing.

“Namun saya tak salahkan mereka kerana mereka yang merasakan penderitaannya tentulah sakit hati dan ingin meluahkan perasaan masing-masing.. Mereka tahu cerita mereka menjadi rahsia, dan apa yangtersemat di hati mereka cuma penulis sahaja yang tahu.“Tetapi kali ini saya ingin mencurahkan perasaan saya. Kalau selalunya wanita berasa tertipu dengan suami masing-masing, perasaan saya lebih sakit lagi apabila dikhianati isteri sendiri.

Demikian cerita Zain ketika penulis menghubungi beliau setelah membalas e-melnya kerana ingin bertanya lebih lanjut lagi.Memang terkejut tetapi bukan mustahil boleh berlaku kerana dunia ini pentas dan kita semua adalah pelakonnya.“Apa perasaan puan bila baca cerita saya, terkejut tak? Tentu terkejutkan! Saya rasa bukan saya seorang sahaja suami yang berperasaan demikian.Ada lagi mungkin tidak ramai kaum lelaki yang mempunyai pengalaman pahit seperti yang saya lalui, tetapi mereka suka mendiamkan diri.

Dulu sayapun menyimpan perasaan yang sama, tetapi semakin lama kita simpan semakin perit, pedih dan menjadi racun berbisa.“Jadi hari ini saya luahkan kepada puan, pertimbangkanlah. Memang benar zaman ini macam-macam perkara yang kita tak sangka boleh berlaku.Demikian pengalaman pahit yang saya lalui.“Saya bekerja tetap tahun 70-an, oleh kerana saya daripada keluarga susah,ramai adik-beradik, maka saya amat sayangkan kerja. Saya bekerja tak tentumasa kerana terlalu gembira dengan tugas, sesuatu yang saya idam-idamkan selama ini.

“Walaupun saya mendapat tawaran ke U tetapi saya tolak, sebab keluarga miskin, jadi saya berkorban supaya saya boleh bekerja dapat duit,bantu ayah sekolahkan adik-adik. Saya bersyukur semua adik-beradik saya berjaya dalam pelajaran, lulusan U dan semuanya memegang jawatan yang baik juga.“Biarpun saya tidak lulus U tetapi kerana dedikasi dan ketekunan bekerja,saya naik pangkat dan menjawat jawatan yang baik. Ini balasan Allah daripada pengorbanan besar yang saya lakukan demi pelajaran adik-adik saya.“Kerana terlalu sayangkan kerja, saya terlupa usia semakin meningkat dan tak kahwin. 

Hidup saya cuma rumah dan tempat kerja saja. Sebelum pukul 8 saya dah mula bekerja dan balik pukul 6 petang ada kalanya lewat malam.Dan bila kerja banyak ada kalanya sampai pagi. Hari Ahad dan Sabtu sama saja. Ada satu ketika rutin ini berterusan hingga 114 hari,termasuk hujung minggu dan cuti umum, hingga risau ibu di kampung.“Saya hanya lulus MCE, tetapi nasib menyebelahi saya. Jawatan kerajaan yang dipegang adalah idaman ramai. Pendapatannya lumayan bagi seorang bujang umur 20-an, dapat kereta baru, dan dihormati ramai, tentu glamor juga di mata gadis-gadis.“Tetapi kerana taksub dengan kerja, saya lupa dunia, hiburan dan hidup berkeluarga.





Akhirnya ketua jabatan, seorang pengarah merancang konspirasi menjodohkan saya kerana tidak mahu melihat hidup saya habis di pejabat.“Awal tahun 70-an usia dah dekat 30 tahun masih bujang. Di pejabat, saya digelar the most eligible bachelor. Konspirasi mereka menjadi,mereka memaksa saya berkahwin dengan seorang gadis yang boleh dikatakan cantik juga.“Anak ulama daripada keluarga agak tersohor dan dikenali secara peribadi oleh ketua jabatan saya. Hampir setahun berkenalan, akhirnya saya mendirikan rumah tangga dengan Hamizan. “Belum dua tahun berkahwin, Hamizan melahirkan anak, disusuli seorang lagi tiga tahun kemudian dan ketiga, lima tahun kemudian.

Dalam pada itu saya dinaikkan pangkat, melayakkan saya menduduki banglo kuarters kerajaan di KL. Saya juga dianugerahkan bintang kebesaran Persekutuan, semua dalam tempoh kurang 13 tahun saya bertugas.“Hamizan bekerja di sebuah badan berkanun. Dia gemar bersukan apa jenis pun dan aktif berpersatuan. Rajin menyertai kegiatan keseniandan kebudayaan, seperti menari dan berdrama. Kebolehannya ini membawanya ke seluruh negara dan ASEAN dalam misi mengeratkan silaturahim antara badan-badan yang sama antara negara tersebut.“Kerana aktif berpersatuan, dia sering pulang lewat selepas pukul 8 malam dan kadangkala sehingga pukul 10 malam.

Saya tidak merasa syak-wasangka kerana kami diketahui ramai sebagai pasangan ideal. Tetap bergurau senda, berpegang tangan semasa berjalan dan tidak kurang menunjukkan affection pada bila-bila masa. Kami saling sayang-menyayangi. “Suatu hari lebih kurang sedekad lalu, seorang hamba Allah menelefon saya dan bertanya mengapa saya biarkan isteri diusung orang merata tempat. Saya jadi bingung kerana selama ini Hamizan tidak menunjukkan sebarang tanda dia curang selain pulang lewat. Sungguhpun saya sangsi cerita pemanggil itu, namun hati saya mula curiga. Saya bawa bertenang, dan tidak terburu-buru menyergah Hamizan. Saya cuba siasat sendiri.

“Suatu hari saya pulang pukul 3 pagi, dengan kehendak Allah jua saya ternampak bukti pertama sebuah diari di sebelah Hamizan, ketika itu dia tertidur. Hampir pitam saya bila membelek diari itu. Rupa-rupanya dia keluar masuk hotel dengan teman-teman lelakinya, termasuk orang berpangkat tertinggi di jabatannya, juga berpangkat rendah. “Bila diajukan dengan bukti Hamizan tidak dapat mengelak daripada mengakuinya. Dia menceritakan segala-galanya, termasuk kecurangannya. Mahu saya cekik dia ketika itu. Tapi ingatkan anak-anak dan maruah keluarga,saya mengucap berkali-kali. Ketika itu anak-anak sedang membesar dan pencapaian pelajaran mereka amat menggalakkan. Mengenangkan masa depan mereka, saya tidak bertindak.

Kalau dulu saya berkorban untuk adik-beradik, kali ini saya berkorban untuk anak-anak, maruah mereka dan keluarga saya. “Walaupun marah, namun saya beri amaran keras bahawa sekiranya perbuatan ini berulang lagi padahnya amat berat. Dia menangis meminta ampun. “Malangnya pisang berbuah banyak kali. Hamizan mengulangi kegiatannya meskipun tidak lagi pulang lewat. Kali ini saya menemui bukti setelah menerobos masuk ke e-melnya. Kali ini temannya seorang jurutera sebuah syarikat telekomunikasi dan seorang jeneral yang pernah dikenali semasa remaja. Saya tak mahu marah lagi, kerana inilah sifat buruknya yang sebenar. Mulai hari itu antara kami sudah tidak ada apa-apa.





“Namun untuk meyakinkannya saya hubungi teman-temannya itu, dan berjaya mendapatkan pengakuan bertulis mereka, ada juga secara lisan. Saya beritahu mereka perbuatan mereka akan ada balasannya, tiada statute of limitation, bermakna balasannya mungkin serta-merta, lepas lima tahun atau 20 tahun, bila-bila saja. Allah maha besar. “Apa yang menghairankan saya, Hamizan bukan anak orang sembarangan, dia anak ulama, pandai mengaji al-Quran kalau berlagu ala qari terkenal Ismail Hashim, baca Yasin setiap malam Jumaat dari dulu sampai sekarang, sembahyang, puasa, termasuk yang sunat, tak pernah tinggal, bertudung, pakaian sopan. Malah kalau berzanji merdu suaranya.

Setelah difikirkan baru saya sedar, apa yang dilakukan adalah untuk mengaburi mata saya daripada melihat maksiat dan kecurangan yang dilakukan di luar. “Walaupun saya begitu marah tetapi memukul tidak sekali-kali.Saya bawa bertenang kerana memikirkan anak-anak kami ketika itu sedang membesar. Tetapi sedihnya peristiwa pahit dalam kehidupan saya, belum berakhir.Satu hari anak kedua saya kejuruteraan di IPTA pulang bercuti. Sampai di rumah dia terus memeluk saya dengan tangisan. Katanya, dia bukan anak saya. Darah kami berlainan.

“Saya terkejut besar. Bila saya tanya mana dia tahu,katanya ketika menderma darah dia dapati jenis darahnya tidak ada persamaan dengan darah saya. Saya langsung tidak terfikir kecurangan Hamizan sampai ke tahap ini. “Hamizan ketika ditanya menafikan, namun ujian darah membuktikan bahawa Nuraine adik-beradik dengan anak-anak saya yang lain, satu emak tetapi lain ayah. Hamizan tetap berdegil tidak mengakui kesahihan ujian tersebut,meskipun saya dapat agak siapa sebenarnya ayah Nuraine.

“Malah pernah rakan-rakan sepejabat Hamizan ada mengatakan wajah Nuraine sama seperti salah seorang pegawai tinggi di pejabatnya. Tetapi Hamizan menafikan. Bukan sekali dua wajah Nuraine menjadi pertanyaan ramai, banyak kali .“Hamizan kini masih sebumbung dengan saya, tetapi saya tidak pernah menyentuhnya sejak hampir 10 tahun lalu. Anak-anak tidak menghormatinya lagi. Mereka enggan bertegur sapa, tidak bercakap sopan,kalau bercakap pun dengan kasar, membuatkan Hamizan menangis.





“Anak-anak tahu perbuatan keji emak mereka dan tahu pengorbanan saya demi menjaga hati, maruah dan pembelajaran mereka. Anak sulung saya kini star-performer di jabatannya. Nuraine mewakili syarikatnya bertugas di Eropah sementara anak ketiga akan tamat pengajian tidak lama lagi.Inilah pengorbanan saya. Biar hati lebur asal anak-anak bahagia.“Yang penting saya tidak mahu korbankan masa depan mereka dengan sikap saya yang tidak sabar dan mengikutkan rasa saya. “Nuraine hampir setiap hari menelefon saya bertanya khabar. Anak-anak lebih sayangkan saya dan lebih suka berbincang dan berbual dengan saya daripada emak mereka. Inilah sebabnya saya masih tidak menceraikan Hamizan.

“Saya tetap tidak mengampunkan Hamizan. Biar dia nazak dan meminta maaf atau saya sedang nazak dan dia sujud menangis meminta ampun, saya tetap tidak akan memaafkannya. Saya tahu Allah Maha Pengampun, Nabi Muhammad juga mengampunkan umatnya. Namun, saya bukan Allah dan saya juga bukan Nabi Muhammad. Saya seorang biasa dan tidak akan melakukan sesuatu untuk menyamai Allah atau Nabi. “ Ada saya terbaca bahawa ibadah seseorang isteri tidak diterima Allah sekiranya dia melakukan dosa besar terhadap suaminya dan tidak mendapat pengampunan daripadanya.

Jika benar, saya tidak akan mengampunkan apa juga dosa Hamizan. Sungguh saya tidak menyangka kebahagiaan, kesenangan, kesetiaan dan kepercayaan yang saya curahkan kepada dia disia-siakan. “Kalaulah membunuh bukan satu kesalahan dan tidak membawa aib kepada keluarga, sudah lama saya cincang-cincang Hamizan untuk menjadi jamuan anjing-anjing liar di tepi jalan dengan daging busuknya, demikian cerita Zain. Nampaknya Zain telah melakukan pengorbanan besar bukan sahaja untuk adik-beradiknya, anak-anaknya malah menjaga nama baik dan maruah mentuanya. 

Namun saya tertanya-tanya apakah Zain sudah bertanya kehendak Hamizan untuk masa depannya? Mungkin dia ingin menjadi burung yang terbang bebas? Kepada pembaca, dapatkah anda pertimbangkan jika mempunyai isteri yang curang seperti ini?



Renungkanlah...



.:KATA-KATA ZAINAB AL-GHAZALI KEPADA SUAMI TERCINTA:.





Zainab Al Ghazali:

Ketika kita sepakat untuk menikah dahulu, ingatkah kau akan apa yang aku katakan kepadamu tempoh hari?

Suami:

Tentu aku ingat, kau ajukan suatu syarat. Tetapi masalahnya sekarang aku khuatir atas keselamatanmu, sebab sekarang kau sedang berhadapan dengan sizalim itu (Jamal ‘Abdun Nasr).





Zainab Al Ghazali:

Aku masih ingat benar apa yang kuucapkan kepadamu, iaitu:

Kau sebagai calon suamiku harus tahu bahawa aku memikul sesuatu sepanjang hidupku. Kerana kau sudah menyatakan persetujuan untuk menikahiku, maka wajiblah aku untuk mengungkapkan kepadamu dengan harapan agar kau tidak akan bertanya lagi tentang hal itu.

Tanggungjawab berat yang kupikul sekarang adalah kedudukanku selaku Ketua Umum Jama’ah Assayyidat Al-Muslimat. Dan aku tidak akan melangkah mundur atau keluar dari garis perjuangan ini. Aku yakin bahawa memang suatu waktu aku akan jauh melangkah di medan da’wah sehingga akan terasa bertentangan dengan kepentingan peribadimu dan kepentingan perniagaanmu bahkan dengan kepentingan kehidupan suami isteri. Dan apabila yang demikian itu sudah sampai pada posisi sebagai penghalang da’wah dan rintangan untuk mendirikan Negara Islam, nampaknya jalan kita sudah menjadi saling bersimpangan.

Pada waktu itu kau menundukkan kepalamu ke tanah. Ketika aku angkat mukamu , aku lihat air matamu tertahan pada kelopak matamu. Lalu kau berkata,
“ Mintalah apa saja yang kau kehendaki!”.

Namun aku tidak minta apa pun darimu, tidak juga mas kahwin yang biasa diminta calon isteri dari calon suami. Lalu kau berjanji bahawa kau tidak akan melarang aku untuk menunaikan tugas di jalan Allah….

Aku sudah bertekad akan mengesampingkan masalah perkahwinan dari hidupku, agar aku dapat memusatkan perhatian sepenuhnya ke bidang da’wah. Dan kini bukanlah maksudku untuk meminta kau turut serta dalam jihadku ini, melainkan adalah hakku kiranya untuk meminta syarat darimu agar kau tidak melarangku berjihad di jalan Allah. Dan apabila tanggungjawab meletakkan aku di barisan hadapan para mujahiddin, janganlah engkau bertanya kepadaku apa yang aku lakukan.

Hendaknya antara kita dibina rasa saling percaya. Relakanlah isterimu ini yang sudah menyerahkan dirinya untuk jihad fisabilillah dan demi berdirinya Negara Islam yang sudah menjadi tekadku sejak berusia 18 tahun. Apabila kepentingan perkahwinan berseberangan dengan kepentingan da’wah kepada Allah, maka perkahwinan akan berhenti dan kepentingan da’wah akan terus berlanjut dalam semua kegiatan dan kehadiranku…” Apakah kau masih ingat?





Suami:

Ya.

Zainab Al Ghazali:

Kini aku mohon agar kau memenuhi janjimu itu. Jangan bertanya aku bertemu dengan siapa. Dan aku memohon dari Allah agar pahala jihad ini dibahagi antara kita berdua bila Dia berkenan menerima baik ‘amalku ini.
Aku menyedari bahawa memang hakmulah untuk memberikan perintah kepadaku untuk aku patuhi. Akan tetapi
Allah swt dalam diriku lebih besar dari diri kita dan panggilanNya terasa lebih agung




Wednesday, February 2, 2011

.:KISAH ISTERI SOLEHAH:.


Renungan untuk para isteri

Kesatlah air matamu,wahai wanita.

Maksud firman Allah

Dengan Menyebut Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Yang menguasai hari pembalasan. Hanya kepada Engkaulah kami menyembah dan hanya kepada Engkaulah kami mohon pertolongan. Tunjukilah kami kejalan yang lurus. (Iaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau anugerahkan nikmat kepada mereka; bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) yang sesat.

(Al Fatihah:1 - 9)

"Apabila hati terikat dengan Allah, kembalilah wanita dengan asal fitrah kejadiannya, menyejukkan hati dan menjadi perhiasan kepada dunia - si gadis dengan sifat sopan dan malu, anak yang taat kepada ibu bapa, isteri yang menyerahkan kasih sayang, kesetiaan dan ketaatan hanya pada suami."

Bait-bait kata itu aku tatapi dalam-dalam. Penuh penghayatan. Kata- kata yang dinukilkan dalam sebuah majalah yang ku baca. Alangkah indahnya jika aku bisa menjadi perhiasan dunia seperti yang dikatakan itu. Ku bulatkan tekad di hatiku. Aku ingin menjadi seorang gadis yang sopan, anak yang taat kepada ibu bapaku dan aku jua ingin menjadi seorang isteri yang menyerahkan kasih sayang, kesetiaan dan ketaatan hanya untuk suami, kerana Allah.

Menjadi seorang isteri....kepada insan yang disayangi... .. idaman setiap wanita. Alhamdulillah, kesyukuran aku panjatkan ke hadrat Ilahi atas nikmat yang dikurniakan kepadaku. Baru petang tadi, aku sah menjadi seorang isteri setelah mengikat tali pertunangan 6 bulan yang lalu. Suamiku, Muhammad Harris, alhamdulillah menepati ciri-ciri seorang muslim yang baik. Aku berazam untuk menjadi isteri yang sebaik mungkin kepadanya.





"Assalamualaikum, " satu suara menyapa pendengaranku membuatkan aku gugup seketika. "Waalaikumusalam, " jawabku sepatah. Serentak dengan itu, ku lontarkan satu senyuman paling ikhlas dan paling manis untuk suamiku. Dengan perlahan dia melangkah menghampiriku.
"Ain buat apa dalam bilik ni ? Puas abang cari Ain dekat luar tadi. Rupanya kat sini buah hati abang ni bersembunyi. `' Aku tersenyum mendengar bicaranya.Terasa panas pipiku ini. Inilah kali pertama aku mendengar ucapan `abang' dari bibirnya. Dan itulah juga pertama kali dia membahasakan diriku ini sebagai `buah hati' nya.

Aku sungguh senang mendengar ucapan itu. Perlahan-lahan ku dongakkan wajahku dan aku memberanikan diri menatap pandangan matanya. Betapa murninya sinaran cinta yang terpancar dari matanya, betapa indahnya senyumannya, dan betapa bermaknanya renungannya itu. Aku tenggelam dalam renungannya, seolah-olah hanya kami berdua di dunia ini. Seketika aku tersedar kembali ke alam nyata.

"Ain baru je masuk. Nak mandi. Lagipun dah masuk Maghrib kan ? `' ujarku. `' Ha'ah dah maghrib. Ain mandi dulu. Nanti abang mandi dan kita solat Maghrib sama-sama ye ? `'Dia tersenyum lagi. Senyum yang menggugah hati kewanitaanku. Alangkah beruntungnya aku memilikimu, suamiku. Selesai solat Maghrib dan berdoa, dia berpusing mengadapku. Dengan penuh kasih, kusalami dan kucium tangannya. Lama. Aku ingin dia tahu betapa dalam kasih ini hanya untuknya. Dan aku dapat merasai tangannya yang gagah itu mengusap kepalaku dengan lembut. Dengan perlahan aku menatap wajahnya.

"Abang....." aku terdiam seketika. Terasa segan menyebut kalimah itu dihadapannya. Tangan kami masih lagi saling berpautan. Seakan tidak mahu dilepaskan.Erat terasa genggamannya.
"Ya sayang..." Ahhh....bicaranya biarpun satu kalimah, amat menyentuh perasaanku. "Abang... terima kasih atas kesudian abang memilih Ain sebagai isteri biarpun banyak kelemahan Ain. Ain insan yang lemah, masih perlu banyak tunjuk ajar dari abang. Ain harap abang sudi pandu Ain. Sama-sama kita melangkah hidup baru, menuju keredhaan Allah." Tutur bicaraku ku susun satu persatu.
`'Ain, sepatutnya abang yang harus berterima kasih kerana Ain sudi terima abang dalam hidup Ain. Abang sayangkan Ain. Abang juga makhluk yang lemah, banyak kekurangan. Abang harap Ain boleh terima abang seadanya. Kita sama-sama lalui hidup baru demi redhaNya."

`'Insya Allah abang....Ain sayangkan abang. `' `'Abang juga sayangkan Ain. Sayang sepenuh hati abang.'' Dengan telekung yang masih
tersarung, aku tenggelam dalam pelukan suamiku.
Hari-hari yang mendatang aku lalui dengan penuh kesyukuran. Suamiku, ternyata seorang yang cukup penyayang dan penyabar. Sebagai wanita aku tidak dapat lari daripada rajuk dan tangis. Setiap kali aku merajuk apabila dia pulang lewat, dia dengan penuh mesra memujukku. membelaiku. Membuatku rasa bersalah. Tak wajar kusambut kepulangannya dengan wajah yang mencuka dan dengan tangisan. Bukankah aku ingin menjadi perhiasan yang menyejukkan hati suami?Sedangkan Khadijah dulu juga selalu ditinggalkan Rasulullah untuk berkhalwat di Gua Hira'. Lalu, kucium tangannya, kupohon ampun dan maaf. Kuhadiahkan senyuman untuknya. Katanya senyumku bila aku lepas menangis, cantik!

Ahhh....dia pandai mengambil hatiku.
Aku semakin sayang padanya. Nampaknya hatiku masih belum sepenuhnya terikat dengan Allah. Lantaran itulah aku masih belum mampu menyerahkan seluruh kasih sayang, kesetiaan dan ketaatan hanya untuk suami.

`' Isteri yang paling baik ialah apabila kamu memandangnya, kamu merasa senang, apabila kamu menyuruh, dia taat dan apabila kamu berpergian, dia menjaga maruahnya dan hartamu . `' Aku teringat akan potongan hadis itu. Aku ingin merebut gelaran isteri solehah. Aku ingin segala yang menyenangkan buat suamiku. Tuturku ku lapis dengan sebaik mungkin agar tidak tercalar hatinya dengan perkataanku. Kuhiaskan wajahku hanya untuk tatapannya semata. Makan minumnya kujaga dengan sempurna. Biarpun aku jua sibuk lantaran aku juga berkerjaya. Pernah sekali, aku mengalirkan air mata lantaran aku terlalu penat menguruskan rumah tangga apabila kembali dari kerja. Segalanya perlu aku uruskan. Aku terasa seperti dia tidak memahami kepenatanku sedangkan kami sama-sama memerah keringat mencari rezeki. Namun, aku teringat akan kisah Siti Fatimah, puteri Rasulullah yang menangis kerana terlalu penat menguruskan rumah tangga. Aku teringat akan besarnya pahala seorang isteri yang menyiapkan segala keperluan suaminya.

Hatiku menjadi sejuk sendiri. ' Ya Allah, aku lakukan segala ini ikhlas keranaMu. Aku ingin mengejar redha suamiku demi untuk mengejar redhaMu. Berilah aku kekuatan, Ya Allah.'
`' Ain baik, cantik. Abang sayang Ain. `' Ungkapan itu tidak lekang dari bibirnya. Membuatkan aku terasa benar-benar dihargai. Tidak sia- sia pengorbananku selama ini. Betapa bahagianya menjadi isteri yang solehah. Kehidupan yang ku lalui benar-benar bermakna, apatah lagi dengan kehadiran 2 orang putera dan seorang puteri. Kehadiran mereka melengkapkan kebahagiaanku. Kami gembira dan bersyukur kepada Allah atas nikmat yang dikurniakan kepada kami.
Namun, pada suatu hari, aku telah dikejutkan dengan permintaannya yang tidak terduga.

"Ain.....abang ada sesuatu nak cakap dengan Ain."
"Apa dia abang?" tanyaku kembali. Aku menatap wajahnya dengan penuh kasih. `' Ain isteri yang baik. Abang cukup bahagia dengan Ain. Abang bertuah punya Ain sebagai isteri," bicaranya terhenti setakat itu. Aku tersenyum. Namun benakku dihinggap persoalan. Takkan hanya itu?

"Abang ada masalah ke?" Aku cuba meneka. "Tidak Ain. Sebenarnya.. ....," bicaranya terhenti lagi. Menambah kehairanan dan mencambahkan kerisauan di hatiku. Entah apa yang ingin diucapkannya.
"Ain......abang. ....abang nak minta izin Ain...... untuk berkahwin lagi," ujarnya perlahan namun sudah cukup untuk membuat aku tersentak. Seketika aku kehilangan kata.

"A.....Abang. ....nak kahwin lagi?" aku seakan tidak percaya mendengar permintaannya itu. Ku sangka dia telah cukup bahagia dengannku. Aku sangka aku telah memberikan seluruh kegembiraan padanya. Aku sangka hatinya telah dipenuhi dengan limpahan kasih sayangku seorang Rupanya aku silap. Kasihku masih kurang. Hatinya masih punya ruang untuk insan selain aku. Tanpa bicara, dia mengangguk.

`' Dengan siapa abang ? `' Aku bertanya. Aku tidak tahu dari mana datang kekuatan untuk tidak mengalirkan air mata. Tapi....hatiku. .. hanya Allah yang tahu betapa azab dan pedih hati ini.
`' Faizah. Ain kenal dia, kan ? `'
Ya, aku kenal dengan insan yang bernama Faizah itu. Juniorku di universiti. Rakan satu jemaah. Suamiku aktif dalam jemaah dan aku
tahu Faizah juga aktif berjemaah. Orangnya aku kenali baik budi pekerti, sopan tingkah laku, indah tutur kata dan ayu paras rupa. Tidakku sangka, dalam diam suamiku menaruh hati pada Faizah.

" A....Abang.. ....Apa salah Ain abang?" nada suaraku mula bergetar. Aku cuba menahan air mataku daripada gugur. Aku menatap wajah Abang Harris sedalam-dalamnya. Aku cuba mencari masih adakah cintanya untukku. "Ain tak salah apa-apa sayang. Ain baik. Cukup baik. Abang sayang pada Ain." "Tapi....Faizah. Abang juga sayang pada Faizah.... bermakna.... . sayang abang tidak sepenuh hati untuk Ain lagi."

"Ain.....sayang abang pada Ain tidak berubah. Ain cinta pertama abang. Abang rasa ini jalan terbaik. Tugasan dalam jemaah memerlukan
abang banyak berurusan dengan Faizah....Abang tak mahu wujud fitnah antara kami. Lagipun....abang lelaki Ain. Abang berhak untuk berkahwin lebih dari satu. `'

Bicara itu kurasakan amat tajam, mencalar hatiku. Merobek jiwa ragaku. Aku mengasihinya sepenuh hatiku. Ketaatanku padanya tidak pernah luntur. Kasih sayangku padanya tidak pernah pudar. Aku telah cuba memberikan layanan yang terbaik untuknya. Tapi inikah hadiahnya untukku? Sesungguhnya aku tidak menolak hukum Tuhan. Aku tahu dia berhak. Namun, alangkah pedihnya hatiku ini mendengar ucapan itu terbit dari bibirnya. Bibir insan yang amat ku kasihi.

Malam itu, tidurku berendam air mata. Dalam kesayuan, aku memandang wajah Abang Harris penuh kasih. Nyenyak sekali tidurnya. Sesekali terdetik dalam hatiku, bagaimana dia mampu melelapkan mata semudah itu setelah hatiku ini digurisnya dengan sembilu. Tidak fahamkah dia derita hati ini? Tak cukupkah selama ini pengorbananku untuknya? Alangkah peritnya menahan kepedihan ini. Alangkah pedihnya!

Selama seminggu, aku menjadi pendiam apabila bersama dengannya. Bukan aku sengaja tetapi aku tidak mampu membohongi hatiku sendiri. Tugasku sebagai seorang isteri aku laksanakan sebaik mungkin, tapi aku merasakan segalanya tawar. Aku melaksanakannya tidak sepenuh hati. Oh Tuhan.....ampuni daku. Aku sayang suamiku, tapi aku terluka dengan permintaannya itu.

Apabila bertembung dua kehendak, kehendak mana yang harus dituruti. Kehendak diri sendiri atau kehendak Dia ? Pastinya kehendak Dia. Apa lagi yang aku ragukan? Pasti ada hikmah Allah yang tersembunyi di sebalik ujian yang Dia turunkan buatku ini. Aku berasa amat serba- salah berada dalam keadaan demikian. Aku rindukan suasana yang dulu. Riang bergurau senda dengan suamiku. Kini, aku hanya terhibur dengan keletah anak-anak. Senyumku untuk Abang Harris telah tawar, tidak berperisa. Yang nyata, aku tidak mampu bertentang mata dengannya lagi. Aku benar-benar terluka.

Namun, Abang Harris masih seperti dulu. Tidak jemu dia memelukku setelah pulang dari kerja walau sambutan hambar. Tidak jemu dia mencuri pandang merenung wajahku walau aku selalu melarikan pandangan dari anak matanya. Tidak jemu ucapan kasihnya untukku. Aku keliru.

Benar-benar keliru. Adakah Abang Harris benar-benar tidak berubah sayangnya padaku atau dia hanya sekadar ingin mengambil hatiku untuk membolehkan dia berkahwin lagi? `Oh Tuhan... berilah aku petunjukMu.' Dalam kegelapan malam, aku bangkit sujud menyembahNya, mohon petunjuk dariNya. Aku mengkoreksi kembali matlamat hidupku.

Untuk apa segala pengorbananku selama ini untuk suamiku ? Untuk mengejar cintanya atau untuk mengejar redha Allah ? Ya Allah, seandainya ujian ini Engkau timpakan ke atasku untuk menguji keimananku, ku rela Ya Allah. Aku rela.
Biarlah. Bukan cinta manusia yang kukejar. Aku hanya mengejar cinta Allah. Cinta manusia hanya pemangkin. Bukankah aku telah berazam, aku inginkan segala yang menyenangkan buat suamiku?

Dengan hati yang tercalar seguris luka, aku mengizinkan Abang Harris berkahwin lagi. Dan, demi untuk mendidik hati ini, aku sendiri yang menyampaikan hasrat Abang Harris itu kepada Faizah. Suamiku pada mulanya agak terkejut apabila aku menawarkan diri untuk merisik Faizah.

"Ain?......Ain serius?"
"Ya abang. Ain sendiri akan cakap pada Faizah. Ain lakukan ini semua atas kerelaan hati Ain sendiri. Abang jangan risau...Ain jujur terhadap abang. Ain tak akan khianati abang. Ain hanya mahu lihat abang bahagia," ujarku dengan senyuman tawar. Aku masih perlu masa untuk mengubat luka ini. Dan inilah satu caranya. Ibarat menyapu ubat luka. Pedih, tetapi cepat sembuhnya.

Aku mengumpul kekuatan untuk menjemput Faizah datang ke rumahku. Waktu itu, suamiku tiada di rumah dan dia telah memberi keizinan untuk menerima kedatangan Faizah. Faizah dengan segala senang hati menerima undanganku. Sememangnya aku bukanlah asing baginya. Malah dia juga mesra dengan anak-anakku.

`'Izah...... akak jemput Izah ke mari sebab ada hal yang akak nak cakapkan, `' setelah aku merasakan cukup kuat, aku memulakan bicara.
`'Apa dia, Kak Ain. Cakaplah, `' lembut nada suaranya.
"Abang Harris ada pernah cakap apa-apa pada Faizah?"
"Maksud Kak Ain, Ustaz Harris?" Ada nada kehairanan pada suaranya. Sememangnya kami memanggil rakan satu jemaah dengan panggilan Ustaz dan Uztazah. Aku hanya mengangguk.
"Pernah dia cakap dia sukakan Izah?"
"Sukakan Izah? Isyyy....tak mungkinlah Kak Ain. Izah kenal Ustaz Harris. Dia kan amat sayangkan akak. Takkanlah dia nak sukakan saya pula. Kenapa Kak Ain tanya macam tu? Kak Ain ada dengar cerita dari orang ke ni? `'
'Tidak Izah. Tiada siapa yang membawa cerita...... ." Aku terdiam seketika. "Izah, kalau Kak Ain cakap dia sukakan Izah dan nak ambil Izah jadi isterinya, Izah suka?" Dengan amat berat hati, aku tuturkan kalimah itu.
"Kak Ain!" jelas riak kejutan terpapar di wajahnya. `'Apa yang Kak Ain cakap ni ? Jangan bergurau hal sebegini Kak Ain, `' kata Faizah
seakan tidak percaya. Mungkin kerana aku sendiri yang menutur ayat itu.Isteri kepada Muhammad Harris sendiri merisik calon isteri kedua suaminya.
"Tidak Izah. Akak tak bergurau.... ..Izah sudi jadi saudara Kak Ain?" ujarku lagi. Air mataku seolah ingin mengalir tapi tetap aku tahan. Faizah memandang tepat ke wajahku.
"Kak Ain. Soal ini bukan kecil Kak Ain. Kak Ain pastikah yang......Ustaz Harris.....mahu. .. melamar saya?"

Dari nada suaranya, aku tahu Faizah jelas tidak tahu apa-apa. Faizah gadis yang baik. Aku yakin dia tidak pernah menduga suamiku akan membuat permintaan seperti ini. Lantas, aku menceritakan kepada Faizah akan hasrat suamiku. Demi untuk memudahkan urusan jemaah, untuk mengelakkan fitnah. Faizah termenung mendengar penjelasanku.
"Kak Ain.....saya tidak tahu bagaimana Kak Ain boleh hadapi semuanya ini dengan tabah. Saya kagum dengan semangat Kak Ain. Saya minta maaf kak. Saya tak tahu ini akan berlaku. Saya tak pernah menyangka saya menjadi punca hati Kak Ain terluka," ujarnya sebak.

Matanya kulihat berkaca-kaca.
"Izah...Kak Ain tahu kamu tak salah. Kak Ain juga tak salahkan Abang Harris. Mungkin dia fikir ini jalan terbaik. Dan akak tahu, dia berhak dan mampu untuk melaksanakannya. Mungkin ini ujian untuk menguji keimanan Kak Ain."
"Kak...maafkan Izah." Dengan deraian air mata, Faizah meraihku ke dalam pelukannya. Aku juga tidak mampu menahan sebak lagi. Air mataku terhambur jua. Hati wanita. Biarpun bukan dia yang menerima kepedihan ini, tetapi tersentuh jua hatinya dengan kelukaan yang ku alami. Memang hanya wanita yang memahami hati wanita yang lain.
"Jadi...Izah setuju?" Soalku apabila tangisan kami telah reda.

`'Kak Ain....ini semua kejutan buat Izah. Izah tak tahu nak cakap. Izah tak mahu lukakan hati Kak Ain."
"Soal Kak Ain....Izah jangan risau, hati Kak Ain... Insya Allah tahulah akak mendidiknya. Yang penting akak mahu Abang Harris bahagia. Dan akak sebenarnya gembira kerana Faizah pilihannya. Bukannya gadis lain yang akak tak tahu hati budinya. Insya Allah Izah. Sepanjang Kak Ain mengenali Abang Harris dan sepanjang akak hidup sebumbung dengannya, dia seorang yang baik, seorang suami yang soleh, penyayang dan penyabar. Selama ini akak gembira dengan dia. Dia seorang calon yang baik buat Izah. `'

"Akak.....Izah terharu dengan kebaikan hati akak. Tapi bagi Izah masa dan Izah perlu tanya ibu bapa Izah dulu." "Seeloknya begitulah. Kalau Izah setuju, Kak Ain akan cuba cakap pada ibu bapa Izah."

Pertemuan kami petang itu berakhir. Aku berasa puas kerana telah menyampaikan hasrat suamiku. `Ya Allah.....inilah pengorbananku untuk membahagiakan suamiku. Aku lakukan ini hanya semata-mata demi redhaMu.'

Pada mulanya, keluarga Faizah agak keberatan untuk membenarkan Faizah menjadi isteri kedua Abang Harris. Mereka khuatir Faizah akan terabai dan bimbang jika dikata anak gadis mereka merampas suami orang. Namun, aku yakinkan mereka akan kemampuan suamiku. Alhamdulillah, keluarga Faizah juga adalah keluarga yang menitikberatkan ajaran agama. Akhirnya, majlis pertunangan antara suamiku dan Faizah diadakan jua.

"Ain.....abang minta maaf sayang," ujar suamiku pada suatu hari, beberapa minggu sebelum tarikh pernikahannya dengan Faizah.
"Kenapa?"
"Abang rasa serba salah. Abang tahu abang telah lukakan hati Ain. Tapi....Ain sedikit pun tidak marahkan abang. Ain terima segalanya demi untuk abang.Abang terharu. Abang....malu dengan Ain."
"Abang....syurga seorang isteri itu terletak di bawah tapak kaki suaminya. Redha abang pada Ain Insya Allah, menjanjikan redha Allah
pada Ain. Itu yang Ain cari abang. Ain sayangkan abang. Ain mahu abang gembira.Ain anggap ini semua ujian Allah abang. `' `'Ain....Insya Allah abang tak akan sia-siakan pengorbanan Ain ini. Abang bangga sayang. Abang bangga punya isteri seperti Ain. Ain adalah cinta abang selamanya. Abang cintakan Ain."

"Tapi...abang harus ingat. Tanggungjawab abang akan jadi semakin berat. Abang ada dua amanah yang perlu dijaga. Ain harap abang dapat laksanakan tanggungjawab abang sebaik mungkin."
"Insya Allah abang akan cuba berlaku seadilnya." Dengan lembut dia mengucup dahiku. Masih hangat seperti dulu. Aku tahu kasihnya padaku tidak pernah luntur. Aku terasa air jernih yang hangat mula membasahi pipiku. Cukuplah aku tahu, dia masih sayangkan aku seperti dulu walaupun masanya bersamaku nanti akan terbatas.

Pada hari pertama pernikahan mereka, aku menjadi lemah. Tidak bermaya. Aku tiada daya untuk bergembira. Hari itu sememangnya amat perit bagiku walau aku telah bersedia untuk menghadapinya. Malam pertama mereka disahkan sebagai suami isteri adalah malam pertama aku ditinggalkan sendirian menganyam sepi. Aku sungguh sedih. Maha hebat gelora perasaan yang ku alami. Aku tidak mampu lena walau sepicing pun.

Hatiku melayang terkenangkan Abang Harris dan Faizah. Pasti mereka berdua bahagia menjadi pengantin baru. Bahagia melayari kehidupan bersama, sedangkan aku ? Berendam air mata mengubat rasa kesepian ini. Alhamdulillah. Aku punya anak-anak. Merekalah teman bermainku.
Seminggu selepas itu, barulah Abang Harris pulang ke rumah. Aku memelukknya seakan tidak mahu ku lepaskan. Seminggu berjauhan, terasa seperti setahun. Alangkah rindunya hati ini. Sekali lagi air mata ku rembeskan tanpa dapat ditahan.

`' Kenapa sayang abang menangis ni? Tak suka abang balik ke?" ujarnya lembut.
"Ain rindu abang. Rindu sangat. `' Tangisku makin menjadi-jadi. Aku mengeratkan pelukanku. Dan dia juga membalas dengan penuh kehangatan.
`'Abang pun rindu Ain. Abang rindu senyuman Ain. Boleh Ain senyum pada abang ? `' Lembut tangannya memegang daguku dan mengangkat wajahku.
`'Abang ada teman baru. Mungkinkah abang masih rindu pada Ain ? `' Aku menduga keikhlasan bicaranya.

'Teman baru tidak mungkin sama dengan yang lama. Kan abang dah kata, sayang abang pada Ain masih seperti dulu. Tidak pernah berubah, malah semakin sayang. Seminggu abang berjauhan dari Ain, tentulah abang rindu. Rindu pada senyuman Ain, suara Ain, masakan Ain, sentuhan Ain. Semuanya itu tiada di tempat lain, hanya pada Ain saja. Senyumlah sayang, untuk abang. `'Aku mengukir senyum penuh ikhlas. Aku yakin dengan kata-katanya. Aku tahu sayangnya masih utuh buatku.

Kini, genap sebulan Faizah menjadi maduku. Aku melayannya seperti adik sendiri. Hubungan kami yang dulunya baik bertambah mesra. Apa tidaknya, kami berkongsi sesuatu yang amat dekat di hati. Dan, Faizah, menyedari dirinya adalah orang baru dalam keluarga, sentiasa berlapang dada menerima teguranku. Katanya, aku lebih mengenali Abang Harris dan dia tidak perlu bersusah payah untuk cuba mengorek sendiri apa yang disukai dan apa yang tidak disukai oleh Abang Harris. Aku, sebagai kakak, juga sentiasa berpesan kepada Faizah supaya sentiasa menghormati dan menjaga hati Abang Harris. Aku bersyukur, Faizah tidak pernah mengongkong suamiku. Giliran kami dihormatinya.

Walaupun kini masa untuk aku bersama dengan suamiku terbatas, tetapi aku dapat merasakan kebahagiaan yang semakin bertambah apabila kami bersama. Benarlah, perpisahan sementara menjadikan kami semakin rindu. Waktu bersama, kami manfaatkan sebaiknya. Alhamdulillah, suamiku tidak pernah mengabaikan aku dan Faizah. Aku tidak merasa kurang daripada kasih sayangnya malah aku merasakan sayangnya padaku bertambah.

Kepulangannya kini sentiasa bersama sekurang-kurangnya sekuntum mawar merah. Dia menjadi semakin penyayang, semakin romantik. Aku rasa aku harus berterima kasih pada Faizah kerana kata suamiku, Faizahlah yang selalu mengingatkannya supaya jangan mensia-siakan kasih sayangku padanya. Memang aku tidak dapat menafikan, adakalanya aku digigit rindu apabila dia pulang untuk bersama-sama dengan Faizah. Rindu itu, aku ubati dengan zikrullah. Aku gunakan kesempatan ketiadaannya di rumah dengan menghabiskan masa bersama Kekasih Yang Agung. Aku habiskan masaku dengan mengalunkan ayat-ayatNya sebanyak mungkin.

Sedikit demi sedikit kesedihan yang ku alami mula pudar. Ia diganti dengan rasa ketenangan. Aku tenang beribadat kepadaNya. Terasa diriku ini lebih hampir dengan Maha Pencipta. Soal anak-anak, aku tidak mempunyai masalah kerana sememangnya aku mempunyai pembantu rumah setelah aku melahirkan anak kedua. Cuma, sewaktu mula-mula dulu, mereka kerap juga bertanya kemana abah mereka pergi, tak pulang ke rumah. Aku terangkan secara baik dengan mereka. Mereka punyai ibu baru. Makcik Faizah. Abah perlu temankan Makcik Faizah seperti abah temankan mama. Anak-anakku suka bila mengetahui Faizah juga menjadi `ibu' mereka. Kata mereka, Makcik Izah baik.Mereka suka ada dua ibu. Lebih dari orang lain.Ahhh... anak-anak kecil. Apa yang kita terapkan itulah yang mereka terima. Aku tidak pernah menunjukkan riak kesedihan bila mereka bertanya tentang Faizah. Bagiku Faizah seperti adikku sendiri.

Kadang-kadang, bila memikirkan suamiku menyayangi seorang perempuan lain selain aku, memang aku rasa cemburu, rasa terluka. Aku cemburu mengingatkan belaian kasihnya itu dilimpahkan kepada orang lain.Aku terluka kerana di hatinya ada orang lain yang menjadi penghuni. Aisyah, isteri Rasulullah jua cemburukan Khadijah, insan yang telah tiada. Inikan pula aku, manusia biasa. Tapi..... ku kikis segala perasaan itu. Cemburu itukan fitrah wanita, tanda sayangkan suami. Tetapi cemburu itu tidak harus dilayan. Kelak hati sendiri yang merana. Bagiku, kasih dan redha suami padaku itu yang penting, bukan kasihnya pada orang lain. Selagi aku tahu, kasihnya masih utuh buatku, aku sudah cukup bahagia. Dan aku yakin, ketaatan, kesetiaan dan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi kepadanya itulah kunci kasihnya kepadaku. Aku ingin nafasku terhenti dalam keadaan redhanya padaku, supaya nanti Allah jua meredhai aku.Kerana sabda Rasulullah s.a.w

"Mana-mana wanita (isteri) yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya meredhainya, maka ia akan masuk ke dalam syurga." (Riwayat at-Tirmizi, al-Hakim dan Ibnu Majah).

Sungguh bukan mudah aku melalui semuanya itu. Saban hari aku berperang dengan perasaan. Perasaan sayang, luka, marah, geram, cemburu semuanya bercampur aduk. Jiwaku sentiasa berperang antara kewarasan akal dan emosi. Pedih hatiku hanya Tuhan yang tahu. KepadaNyalah aku pohon kekuatan untuk menempuhi segala kepedihan itu. KepadaNyalah aku pinta kerahmatan dan kasih sayang, semoga keresahan hati ini kan berkurangan. Namun, jika aku punya pilihan, pastinya aku tidak mahu bermadu. Kerana ia sesungguhnya memeritkan. Perlukan ketabahan dan kesabaran.

Walau bagaimanapun, aku amat bersyukur kerana suamiku tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya. Dan aku juga bersyukur kerana menjadi intan terpilih untuk menerima ujian ini.

renungkanlah. ..




DisakitkanNya kita sekejap tapi cepat-cepat disembuhkan semula kerana cintaNya,disusahkan sedikit agar insaf,namun segera disenangkan semula.Itulah belaianNya.Dimarahk an juga kadang-kadang kerana sayang,namun tidak lama kerana kasihNya.Dipanggil- panggil kepadaNya,untuk meminta itu dan ini,Tuhan amat melayani hambaNya,tapi si hamba tidak peduli langsung!